Ada apa pada Ujian?
“Mata ini boleh menangis, hati ini boleh berduka. Tapi kita tidak mengucapkan kecuali apa yang diredhai Allah”, begitulah ucapan Rasulullah saw ketika puteranya Ibrahim dipanggil Allah.
Hidup ini memang penuh dengan ujian. Mahu atau tidak, suka atau tidak, semua orang akan diuji oleh Allah swt. Baik berupa satu kesulitan mahupun satu kemudahan, kekurangan mahupun kelebihan, kemiskinan mahupun kekayaan. Yang menjadi keutamaan kita adalah bagaimana kita melalui ujian yang datang kepada kita. Dan untuk melalui ujian tersebut, adalah lebih baik jika kita tahu hakikat di sebalik ujian yang diberikan Allah swt melalui hadis-hadis Rasulullah saw seperti berikut:
- Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah ’Azza wa jalla bila menyenangi suatu kaum, Allah akan menguji mereka. Barangsiapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya dan barangsiapa murka maka baginya murka Allah. (HR. Tirmidzi).
- Tiada seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, kecuali Allah mencatat baginya kebaikan dan menghapus darinya dosa. (HR. Bukhari)
- Sa’ad bin Abi Waqqash berkata, ”Aku bertanya kepada Rasulullah saw, ”Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cubaannya?” Nabi saw menjawab, ”Para nabi kemudian yang meniru (menyerupai) mereka dan yang meniru (menyerupai) mereka. Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau agamanya tipis (lemah) dia diuji sesuai dengan itu (ringan) dan bila imannya kuat dia diuji sesuai dengan itu (keras). Seorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa. (HR. Bukhari)
- Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka dia diuji (dicuba dengan suatu musibah). (HR. Bukhari).
- Seorang hamba memiliki suatu darjat di syurga. Ketika dia tidak dapat mencapainya dengan amal-amal kebaikannya maka Allah menguji dan mencubanya agar dia mencapai darjat itu. (HR. Ath-Thabrani)
- Apabila Allah menyenangi hamba maka dia diuji agar Allah mendengar permohonannya (kerendahan dirinya). (HR. Al-Baihaqi)
- Apabila Aku menguji hambaKu dengan membutakan kedua matanya dan dia bersabar maka Aku ganti kedua matanya dengan syurga. (HR. Ahmad)
- Tiada seorang mukmin ditimpa rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai pun duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Bukhari)
- Tidak semestinya seorang muslim menghina dirinya. Para sahabat bertanya, ”Bagaimana menghina dirinya itu, ya Rasulullah?” Nabi saw menjawab, ”Melibatkan diri dalam ujian dan cubaan yang dia tak tahan menderitanya.” (HR. Ahmad dan Tirmidzi)
- Allah menguji hambaNya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang menguji kemurnian emas dengan api (pembakaran). Ada yang ke luar emas murni. Itulah yang dilindungi Allah dari keragu-raguan. Ada juga yang kurang dari itu (mutunya) dan itulah yang selalu ragu. Ada yang ke luar seperti emas hitam dan itu yang memang ditimpa fitnah (musibah). (HR. Ath-Thabrani)
- Salah seorang dari mereka lebih senang mengalami ujian dan cubaan daripada seorang dari kamu (senang) menerima pemberian. (HR. Abu Ya’la)
- Sesungguhnya Allah Azza Wa jalla menguji hambanya dalam rezeki yang diberikan Allah kepadanya. Kalau dia redha dengan bahagian yang diterimanya maka Allah akan memberkahinya dan meluaskan pemberian-Nya. Kalau dia tidak redha dengan pemberian-Nya maka Allah tidak akan memberinya berkah. (HR. Ahmad)
- Barangsiapa ditimpa musibah dalam hartanya atau pada dirinya lalu dirahsiakannya dan tidak dikeluhkannya kepada siapapun maka menjadi hak atas Allah untuk mengampuninya. (HR. Ath-Thabrani)
- Barangsiapa diuji lalu bersabar, diberi lalu bersyukur, dizalimi lalu memaafkan dan menzalimi lalu beristighfar maka bagi mereka keselamatan dan mereka tergolong orang-orang yang memperoleh hidayah. (HR. Al-Baihaqi)
Allahualam.
Petikan diambil dari site ini dan diedit oleh editor.





